KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta supaya tidak menyalahtafsirkan maksud frasa liberal di dalam cita-cita Rukun Negara.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkataan dalam frasa tersebut merujuk kepada sikap keterbukaan dan penerimaan (Faham, Hormat dan Terima) kepada perbezaan budaya antara kaum dan etnik yang membawa maksud kebebasan rakyat untuk beragama, mengamalkan adat resam serta kebudayaan masing-masing.
“Cita-cita Rukun Negara menegaskan prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif.
“Salah satu cita-cita Rukun Negara adalah ‘menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak’.
“Sehubungan dengan itu, saya mohon agar semua pihak menghentikan tafsiran yang salah berhubung maksud frasa liberal yang terdapat dalam cita-cita Rukun Negara.,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Aaron, penerapan nilai-nilai liberal dengan maksud berkenaan akan membantu mewujudkan persekitaran yang lebih positif dan progresif.“Nilai tersebut turut memberi peluang kepada setiap individu untuk berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negara secara positif.
“Majlis Perundingan Negara yang dianggotai oleh 13 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang kaum dan kepakaran telah menghasilkan Rukun Negara sebagai falsafah negara baharu,” ujarnya.Terdahulu Aaron berkata, Rukun Negara telah dirangka berdasarkan tujuh tunjang utama yang telah dikemukakan melalui kertas Pillars of Nation.
“Akhirnya, Rukun Negara telah dirangka dan disusun kepada dua bahagian iaitu lima cita-cita dan lima prinsip.
“Cita-cita dan prinsip Rukun Negara kemudiannya telah diterjemah kepada suatu bentuk falsafah atau ideologi nasional,” tambahnya. – MalaysiaGazette