Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata modul motivasi itu tidak sepatutnya diwujudkan kerana perbuatan terbabit mencemar budaya bangsa dan melanggar adat resam serta tatasusila rakyat negara ini.
“Saya rasa mereka ini ‘sakit otak’. Kita marah pada pelancong luar yang datang ke negara kita seperti kejadian yang berlaku di kawasan South Peak Gunung Kinabalu, Sabah pada dua tahun lepas. Kini rakyat kita pula yang lakukan perbuatan itu.
“Ini bukan budaya kita. Ini gila punya kerja. Kalau mahu ikut cara barat pun, carilah yang munasabah…ini bukan tamadun kita, sebaliknya kembali semula ke zaman batu,” katanya.
Tengah malam semalam, polis menahan 39 peserta lelaki berumur dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun kerana disyaki berkelakuan lucah di tempat awam dengan berbogel ketika menyertai program motivasi di sebuah pusat peranginan di Bentong pada petangnya.
Kejadian serupa sebelum ini di Gunung Kinabalu pada 30 Mei 2015, melibatkan sekumpulan pelancong asing yang bertindak menanggalkan pakaian masing-masing apabila berjaya tiba di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
Pada 12 Jun tahun yang sama, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, menjatuhkan hukuman penjara tiga hari terhadap empat pelancong asing itu dan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara kerana melakukan perbuatan lucah di Gunung Kinabalu. – Bernama