Menteri Kesihatan Dikejarkan Ke Hospital, Suspek Batu Karang

SHAH ALAM: Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dirujuk ke Jabatan Kecemasan awal pagi ini kerana disyaki mengalami gejala “renal colic”.

Dalam kenyataan, Kementerian Kesihatan berkata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.

“Sama-sama kita doakan agar beliau diberikan kesihatan yang baik dan kembali pulih untuk bertugas,” menurut kenyataan.

Dzulkefly adalah naib presiden Amanah, menerajui Kementerian Kesihatan buat kali kedua susulan rombakan Jemaah Menteri Disember lalu.

Beliau kali pertama berkhidmat sebagai menteri kesihatan bawah kerajaan Pakatan Harapan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Renal colic atau kolik buah pinggang adalah istilah perubatan untuk kesakitan yang mungkin dialami akibat batu karang.

Antara simptom bagi situasi tersebut ialah kesakitan teramat sangat daripada belakang hingga ke kemaluan dengan rasa mual dan muntah .

Ini berlaku apabila batu itu bergerak melalui saluran ureter yang sempit yang mengecut untuk mengeluarkannya. Setengah pesakit akan merasa sakit yang tajam pada testikel mereka atau sepanjang zakar mereka semasa kencing. Mereka lazimnya dapat mengesan adanya darah di dalam air kencing.

Batu yang lebih besar yang tidak boleh keluar dengan sendiri mungkin tersekat di dalam ureter dan menyebabkan halangan. Ini akan menyebabkan sakit yang berterusan dan mungkin demam jika terdapat jangkitan kuman. -Free Malaysia Today

Related Articles