Menteri Agama Ingatkan Tiada Provokasi Susulan Pembatalan 16 Seksyen Undang-undang Syariah Kelantan

by Anis

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar memberi jaminan kepada umat Islam di negara ini bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan wujud selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu semua pihak diminta untuk bertenang dan tidak melakukan provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.

Kenyataan itu menyusul selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan sebanyak 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Dalam masa yang sama, Mohd Na’im berkata selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes itu yang akan segera dijalankan, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini. Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan.

“Saya akan segera memohon perkenan untuk menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah hari ini.

“Saya juga akan segera memohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk kita sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah.

Sekiranya terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kerajaan akan segera melakukannya.

“Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh YABhg. Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi, mantan Ketua Hakim Negara akan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan sebanyak16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan adalah sah.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.Hanya Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza berhubung local standi.

Tengku Maimun dalam penghakiman berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Kedua-dua beranak itu mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Untuk rekod, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Related Articles