Mengenali Sultan Muhammad V

Baginda dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mulai Selasa (13 Disember) untuk tempoh lima tahun akan datang.

Nenda baginda, Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-6 pada 1975 hingga 1979.

Tengku Muhammad Faris Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010 dengan gelaran Sultan Muhammad V.

PUTERA SULUNG DARIPADA EMPAT BERADIK

Sultan Muhammad V, 47, adalah putera sulung daripada empat beradik kepada pasangan Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Tiga adinda baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 42, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38, dan Tengku Amalin A’ishah Putri, 32 tahun.

Sering membahasakan diri sebagai ‘ambo’ ketika bertemu dengan rakyat Kelantan, baginda juga begitu mengambil berat tentang nasib serta kebajikan rakyat baginda.

Sultan Muhammad V juga kerap turun padang bertemu masyarakat termasuk penduduk kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Baginda yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985 juga dilihat lebih gemar mengenakan jubah atau berbaju Melayu atau lebih dikenali di negeri Kelantan sebagai ‘baju gumbang’, serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat baginda.

Sultan Muhammad V, yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 12 Disember 2011 adalah seorang raja berjiwa rakyat dan dekat di hati penduduk negeri Kelantan.

Baginda banyak terlibat dalam bidang sosial dan kebajikan termasuk persatuan dan yayasan.

Sebagai penaung kepada Yayasan Sultan Kelantan, baginda banyak membantu memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim, fakir miskin, orang kelainan upaya dan sumbangan pendidikan.

Baginda turut mengilhamkan Program Walkathon D’Raja Kelantan sejak 2011 bagi mengeratkan lagi hubungan raja dengan rakyat.

Menerusi Program Walkathon D’Raja Kelantan itu, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja yang lain sejauh 10 km di Kota Bharu.

Pada 2011, program itu diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia pada tahun berkenaan selepas berjaya mengumpul seramai 21,111 peserta.

Program terbaharu 28 Oktober lepas berjaya menarik penyertaan lebih 21,000 orang dan buat pertama kali diadakan pada waktu malam.

Dianjurkan oleh Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi, program ini bertujuan mendekatkan baginda dengan rakyat, menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menjadi ikon tarikan pelancongan Kelantan.

MENYEMAI KEROHANIAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT ISLAM NEGERI

Sultan Muhammad V yang mendapat didikan dalam bidang keagamaan dan kerohanian begitu menyerlah di mata rakyat dari segi pegangan Islam yang kukuh.

Baginda juga gigih berusaha menerap nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini menerusi program ‘Qiam With Me’ yang diadakan pada setiap Ramadan sejak 2011.

Program itu, yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan Tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan dan Qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda.

Menurut Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Muhammad Hana Pizi Abdullah, Sultan Muhammad V begitu prihatin dalam soal masjid dan agama Islam.

“Kami warga masjid amat dekat dengan baginda yang cukup prihatin dengan masjid dan agama. Seperti yang diketahui umum, baginda seorang sultan yang memang selalu berada di masjid da n rakyat senang bertemu dengan baginda,” katanya.

Muhammad Hana Pizi berkata kehadiran baginda di masjid dan majlis keagamaan menjadikan baginda begitu dekat dengan rakyat.

“Sultan Muhammad V pernah mengimamkan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, yang disertai ribuan jemaah beberapa tahun lepas,” katanya.

SISI PENDIDIKAN DAN HOBI SULTAN MUHAMMAD V

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober, 1969 mendapat pendidikan awal pra sekolah di Tadika Fatima Convent, Kota Bharu (1974-1975) kemudiannya di Sekolah Sultan Ismail I di sini (1976-1981).

Pada 1983, baginda melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur dan Oakham School Rutland, England sehingga 1989.

Baginda kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies (1989-1991).

Baginda melanjutkan Pengajian Perhubungan Diplomatik dan Pentadbiran perniagaan di Huron University College, London, Pengajian Perhubungan Diplomatik di Deutsche Stiftung Internationale Entwicklung, Berlin, dan European Business Administration di European Business School London.

Baginda, yang juga aktif dalam organisasi yang berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan, kini adalah Kolonel Yang Dipertua Rejimen Artileri Diraja, dan pernah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigedier Jeneral.

Sultan Muhammad V, yang juga Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), berminat dalam sukan lasak dan secara aktif menyertai ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Di samping itu, baginda gemar bermain golf, go-kart, menembak, memanah, badminton, boling dan bola sepak.

Baginda juga gemar memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam dan burung. – mStar Online

Related Articles