Memorandum isu DOJ diserah kepada AG

Memorandum itu diserahkan oleh Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada pegawai khas Mohamed Apandi, Zulkhairi di Pejabat Peguam Negara, di Putrajaya pada Rabu.

Menurut Shamsul, Zulkhairi telah menerima dua salinan memorandum berhubung isu iaitu satu dalam Bahasa Malaysia (BM) dan satu dalam Bahasa Inggeris (BI).

“Dalam memorandum itu, kita telah pun mendesak supaya peguam negara mengambil tindakan yang tegas dan memberikan komen ataupun memberikan jaminan agar pendedahan Peguam Negara Amerika pada 20 Julai 2016, untuk melihat semula keputusan peguam negara terhadap skandal 1MDB ini,” katanya.

Turut hadir bersama Shamsul Iskandar Mohd Akin, ialah Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, dan bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan.

Katanya lagi, memorandum itu juga bertujuan untuk peguam negara memberikan tumpuan untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan aktiviti jenayah pengubahan wang haram sepertimana yang termaktub di bawah undang-undang Akta Pengubahan Wang haram.

“Kita mendesak juga bahawa dalam kes ini, kita tentunya mengambil manfaat Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah 2012 (Akta 621), yang mana mempunyai peruntukan khusus untuk membantu kedua-dua negara dalam usaha mereka khususnya berkongsi bukti dan memulakan pendakwaan jenayah di Malaysia,” katanya.

Pada 20 Julai 2016, DOJ mengumumkan telah memfailkan aduan rampasan sivil ke atas entiti dan individu tertentu dan secara serentak memfailkan tindakan berkaitan bagi membolehkan rampasan sivil aset tertentu atas nama pihak terlibat.– Sinar Harian

Related Articles