Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil berkata, permainan itu boleh membawa kepada yang haram atas beberapa faktor termasuk pembaziran masa dan wang ringgit, bahaya dari segi pengintipan pihak luar, pencerobohan data peribadi, punca kemalangan, kelalaian, ketagihan, hilang fokus, gangguan emosi, keruntuhan akhlak dan menjejaskan pekerjaan serta pelajaran.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas jawatankuasa fatwa negeri mengkaji, malah cuba memainkan permainan tersebut menerusi aplikasi telefon pintar dan memutuskan umat Islam mesti menjauhi permainan tersebut.
“Kalau dilihat dari segi praktikal, permainan ini seolah-olah ada unsur pengintipan dan beberapa maklumat boleh diperoleh.
“Jawatankuasa fatwa negeri juga merujuk pandangan banyak pihak termasuk dari dalam dan luar negara. Secara umumnya, ia boleh memudaratkan dan membawa kepada haram.
“Justeru, kita minta umat Islam di negeri ini khasnya dan di serata dunia amnya, jangan mengaplikasikan permainan ini dan menjauhinya,” katanya pada Selasa. – Sinar Harian