MCA tangguh pemilihan parti lepas PRU14

Liow berkata keputusan itu dibuat bagi memberi laluan untuk parti itu membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Dalam mesyuarat hari ini kami telah bincang dengan panjang lebar untuk tangguhkan pemilihan parti selepas PRU akan datang.

“Dengan ini kami boleh membuat persiapan rapi dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran PRU akan datang,” katanya, pada Ahad.

Beliau berkata, pemilihan parti itu hanya akan diadakan dalam masa enam bulan selepas PRU diadakan.

Mengulas mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 semalam, Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata ia merupakan trend yang baik.

“Ini menunjukkan mereka (pengundi) sudah muak dengan janji-janji kosong DAP dengan pakatan, yang dulu beri pelbagai janji.

“Tetapi ternyata ‘dua partisan’ sistem yang dijayakan pakatan telah hancur. Pertelingkahan antara DAP dan PKR juga menunjukkan mereka lebih mementingkan agenda sendiri daripada agenda rakyat Sarawak,” katanya.

Liow berkata MCA juga melihat senario itu sebagai penerimaan berterusan rakyat Sarawak terhadap keberkesanan dan sifat inklusif BN dalam mentadbir negara.

“Kami yakin pengundi lain juga sedar akan hakikat ini dan akan terus menolak DAP dan parti pembangkang yang lain pada PRU akan datang,” katanya. – Bernama

Related Articles