Beliau berkata langkah itu adalah antara persiapan awal parti itu dalam menghadapi PRU, selain mengadakan pelbagai program mendekati rakyat.
Pada 2014, MCA menubuhkan jawatankuasa pengelola PRU14 di bawah pimpinan Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang merancang dan membuat persiapan pilihan raya termasuk peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Semua pihak termasuk akar umbi MCA perlu tingkatkan usaha bagi memenangi hati serta mendapatkan sokongan pengundi berbangsa Cina…ingin saya ingatkan bahawa kemenangan keseluruhan dalam pilihan raya umum akan datang tidak hanya berdasarkan kaum Cina sahaja.
“MCA berkhidmat untuk semua kaum di Malaysia dan apa yang MCA perlukan adalah sokongan padu dari semua anggotanya,” kata beliau ketika berucap merasmikan Pesta Tanglung Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-37 di Wisma MCA hari ini.
Pesta Tanglung UKM ke-37 itu, yang berlangsung sepanjang semester satu 2016, bertujuan memperkenal kebudayaan Tionghua yang unik kepada masyarakat pelbagai kaum yang lain.
Pesta Tanglung itu juga menjadi saluran yang menyatupadukan pelajar baharu dan membolehkan mereka saling berkenalan dan berinteraksi sepanjang aktiviti dijalankan. –Bernama