MCA gesa percepat iktiraf UEC dalam AGM

Resolusi berkaitan UEC itu adalah supaya pemegang sijil tersebut boleh memohon untuk memasuki Universiti Awam dan perkhidmatan awam.

Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi jawatankuasanya iaitu Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Secara keseluruhan, enam resolusi diluluskan hari ini yang merangkumi 20 perkara berhubung hal ehwal parti, politik, ekonomi, pendidikan, kerajaan dan perhubungan antarabangsa. Resolusi itu diluluskan sebulat suara oleh semua delegasi yang hadir pada perhimpunan agung di Wisma MCA di sini selepas dibahaskan oleh 17 perwakilan.

Perhimpunan itu turut mahu mempertahankan sistem pendidikan pelbagai aliran yang wujud sekian lama, serta menggesa kerajaan supaya membantu pembangunan sekolah Cina dan sekolah persendirian Cina di negara ini.

Dari segi pendidikan vokasional, perhimpunan agung itu menyokong dasar kerajaan memperuntukkan sumber tambahan kepada pendidikan dan latihan vokasional di negara ini.

Dalam aspek hal ehwal parti, perhimpunan itu turut menggesa transformasi parti dipercepatkan agar parti dapat terus di barisan hadapan melindungi hak-hak dan kepentingan masyarakat Cina, dan juga kepelbagaian dalam negara.

Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, para anggota parti turut digesa bersatu menentang ancaman luar, serta meningkatkan program-program mesra rakyat.

Para delegasi juga turut menolak pelaksanaan enakmen hudud dan tegas mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, selain mengutuk segala bentuk ekstremisme dan politik kebencian, serta membantah semua demonstrasi jalanan yang menggugat perpaduan rakyat.

Selain itu, perhimpunan itu menggesa supaya gejala rasuah dibanteras dalam sektor perkhidmatan awam dan menyokong pengamalan tadbir urus yang terbaik, selain menyokong penggubalan undang-undang bagi mengawal sumbangan dan perbelanjaan politik.

Dari segi ekonomi, para delegasi menyokong usaha kerajaan meningkatkan hubungan Malaysia-China dan menjalinkan pertalian erat dengan Parti Komunis China, selain menyokong usaha ‘One Belt One Road’, yang dipelopori negara Tembok Besar itu.

Dalam mengukuhkan perhubungan antarabangsa, perhimpunan agung itu menggesa negara-negara Asia Tenggara yang berkaitan agar menubuhkan Pasukan Petugas Khas Antikeganasan untuk menghapuskan ancaman kumpulan bersenjata dari selatan Filipina, sekali gus memelihara keselamatan di pantai timur Sabah.— Bernama

Related Articles