MCA ‘berkuasa tetapi tiada kuasa’

by SM Amin

Semasa persidangan Perlembagaan di London, perwakilan negara kita jelas menyatakan bahawa “selepas Malaya merdeka, negara tidak akan menjadi sebuah negara Islam yang melaksanakan pemerintahan teokrasi sebaliknya kekal sebagai sebuah negara sekular.” Jadi, sejak perjuangan memerdekakan negara lagi, Malaysia sudah ditetapkan sebagai sebuah negara sekular.

Pentadbiran dan agama diasingkan dalam negara sekular, menjamin kebebasan bersuara rakyat dan mempunyai undang-undang yang melindungi mana-mana agama di dalam negara. Sejarah menunjukkan bahawa apa yang dinyatakan oleh Bapa Malaysia iaitu “Malaysia sebagai negara sekular yang menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi” merupakan harapan untuk melindungi ketinggian status agama Islam. Sudah tentu, orang bukan Islam tidak pernah mempersoalkan atau mengganggu kedudukan agama rasmi tersebut.

Bagaimanapun, PAS yang meletakkan agama Islam sebagai teras mahu pentadbiran dan agama disatukan malah komited untuk menjadikan negeri yang ditadbir mereka lebih Islamik. Presiden PAS, Hadi Awang baru-baru ini telah membentangkan RUU Persendirian di Dewan Rakyat untuk mencadangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) supaya dapat membuka pintu pelaksanaan hudud. Apa yang dibimbangi semua pihak ialah langkah ini akan menjadikan Malaysia lebih Islamik di mana undang-undang Islam akan memberi kesan kepada undang-undang dan Perlembagaan yang sedia ada dan seterusnya komuniti akan diheret ke dalam kebinasaan.

Dalam perkembangan yang sama, Perlis yang diperintah oleh BN juga telah meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang membenarkan hanya seorang sahaja sama ada ibu atau bapa mengislamkan anak mereka tanpa menunggu usia anak 19 tahun. Ia jelas bertentangan dengan akta perkahwinan kerajaan Pusat malah tidak menepati moral sosial dan keadilan hak asasi manusia.

Terdapat percanggahan dalam siri pelaksanaan undang-undang Islam ini dengan undang-undang negara dan sekali lagi ia menunjukkan bahawa pentadbiran dan agama disatukan.

Ahli politik yang tidak bertanggungjawab telah mengabaikan masa depan negara dengan menipu rakyat menggunakan alasan agama. Kita sepatutnya mengukuhkan kawalan agama melalui sistem sekular dan bukannya membenarkan kuasa agama mendominasi model pembangunan moden. Nilai sekularisme dan demokrasi juga perlu untuk membangunkan budaya, ekonomi dan pendidikan.

Satu lagi kontroversi pindaan RUU di Perlis ialah, ADUN Titi Tinggi, Khaw Hock Kong telah bertindak keluar dewan tanpa membuat undi bantah mewakili MCA. Walaupun Khaw menjelaskan bahawa tindakan keluar dewan tersebut adalah sebagai satu tindakan membantah, namun ia sebenarnya membawa maksud berkecuali. Ia sekali gus mendedahkan dilema MCA ‘berkuasa tapi tiada kuasa’.

Pada tahun 2001, semasa Mahathir mengumumkan Malaysia sebagai negara Islam, MCA langsung tidak mempertahankannya sebagai negara sekular. Parti itu juga tidak mengambil tindakan drastik membantah pengumuman Mahathir.

Hari ini, PAS dan UMNO bersama-sama bekerjasama ke arah pelaksanaan undang-undang Islam, ditambah dengan cara MCA menghadapi pindaan RUU yang diluluskan di Perlis telah membuatkan masyarakat Cina sangat kecewa terhadap MCA.

Seorang wakil rakyat perlu mempunyai misi yang kuat untuk menyatakan pandangan umum orang ramai. Bersikap berkecuali adalah tindakan pengecut dan tiada keberanian poltik. Sebagai sebuah parti kedua terbesar dalam parti pemerintah, MCA bukan sahaja tidak boleh meletakkan tanggungjawabnya ke atas orang lain malah tidak boleh berundur. – Oriental Daily

Related Articles