MB Kedah ke hospital periksa tahap kesihatan

Perkara berkenaan disahkan Setiausaha Akhbar beliau, Nahar Tajri sekali gus menafikan dakwaan seperti yang tersebar di laman sosial yang mengatakan Ahmad Bashah mendapatkan rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

Menurut Nahar, majikannya itu hanya menjalani siri pemeriksaan susulan rentetan pembedahan Jun lalu akibat komplikasi usus, selain rawatan yang diperlukan untuk memastikan tahap kesihatan Menteri Besar itu terus berada dalam keadaan baik.

“Saya tidak menafikan Menteri Besar ada ke HSB untuk pemeriksaan susulan selepas pembedahan yang dijalani Jun lalu.

“Bagaimanapun, beberapa siri pemeriksaan susulan disalah anggap sebagai Menteri Besar dimasukkan ke hospital kerana kecemasan adalah tidak benar,” katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, Nahar berkata, Ahmad Bashah dikehendaki mematuhi arahan doktor supaya berehat, selain perlu mengurangkan pertemuan dengan terlalu ramai orang dalam masa tertentu bagi mengelak jangkitan pada luka dalaman akibat pembedahan.

“Sehingga kini, Menteri Besar dijangka bercuti sehingga 21 September ini untuk berehat dan menyambut Aidiladha bersama keluarganya,” katanya.

Khabar angin bahawa Ahmad Bashah dimasukkan ke hospital mula disebarkan pagi tadi melalui akaun Aduan Rakyat Kedah di laman sosial Facebook.

Ahmad Bashah dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) pada 4 Jun lalu selepas pitam dan kemudian dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan akibat komplikasi usus.

Related Articles