Perkara itu disahkan oleh setiausaha sulitnya, Abidin Supardi, 57.
Memetik laporan portal Harian Metro, Abidin berkata, mayat berkenaan dikenal pasti menerusi pakaian dan barang kemas yang dipakai Noriah.
“Saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah melihat mayat itu dan memang betul Datuk Noriah.
“Saya bersimpati dengan apa yang berlaku walaupun anak-anaknya masih belum melihat jenazah ibu mereka,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Umum Sarawak (HUS), pada Jumaat.
Semalam, helikopter yang membawa Noriah dan suaminya, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar berlepas dari Betong, kira-kira 250km dari sini pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.
Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.
Jenzah Noriah selamat tiba di Hospital Kuching tepat jam 3.30 petang tadi.
Jenazah yang dibawa menaiki helikopter dari tempat nahas di Sebuyau itu tiba di padang Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak sebelum dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim yang menunggu untuk melihat ‘adiknya’ itu.