Mayat korban pertama banjir Johor ditemui

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata mayat Mohd Fais Syafiq, 21, ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari tempat kejadian pada 7.45 pagi tadi.

“Identiti mangsa dikenal pasti berdasarkan kad pengenalan di dalam dompet yang ditemukan pada mangsa sebelum disahkan oleh keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Selasa, Mohd Fais Syafiq dilapor hanyut dalam arus deras setelah bot yang dinaiki bersama empat lagi terbalik selepas bergesel dengan dua bot lain semasa dalam perjalanan menyelamatkan harta benda di rumah keluarganya daripada ditenggelami banjir, di Kampung Tengah.

Empat lagi penumpang yang turut terjatuh ke dalam air bagaimanapun sempat diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Sementara itu, mengulas kehilangan seorang lelaki berusia 58 tahun di Balai Badang, Segamat semalam, Raub berkata polis masih menyiasat kes tersebut.

Katanya siasatan dibuat dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan lemas dalam kejadian banjir.

“Polis akan mengambil keterangan daripada rakan serta anggota keluarga lelaki terbabit,” katanya.

Raub berkata isteri lelaki itu membuat laporan polis selepas si suami tidak pulang ke rumah sekalipun telah habis waktu bekerja.

Kata beliau lelaki itu keluar ke tempat kerjanya di Ladang Palong Timur dengan menunggang motosikal. -Bernama

Related Articles