Kanak-kanak malang itu dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya dan telah meninggal dunia pada 9 November lalu.
Kakak kepada mangsa juga turut didera dan ditemui dalam keadaan parah.
“Polis menerima aduan menerusi panggilan telefon pada 1.25 pagi tadi memaklumkan mengenai berlakunya pergaduhan di flat berkenaan dan tiba di lokasi, seorang wanita mendakwa anak perempuannya berusia empat tahun dipukul teman lelakinya.
“Kanak-kanak perempuan terbabit yang mengalami cedera parah, dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan,” kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa dalam satu kenyataan pada Khamis.
Penemuan mayat yang disembunyikan dalam tong ikan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu, Sungai Petani Kedah, sejak dua minggu lalu itu mengejutkan tiga penghuni lain di rumah berkenaan.
Ia berikutan tiada tanda luar biasa termasuk bau busuk dihidu di kediaman itu.
Mohd Hisham Mohamad, 29, berkata penemuan mayat kanak-kanak itu menjawab misteri kehilangan tong ikan yang selama ini digunakannya untuk menadah air di tandas rumah mereka.
Beliau berkata, asalnya rumah unit itu didiami bersama tiga penghuni lain sebelum suspek lelaki berusia 34 tahun itu membawa pulang teman wanita bersama dua kanak-kanak kira-kira sebulan lalu.
“Sejak wanita itu tinggal di sini, kami bertiga jarang pulang ke rumah kerana tidak selesa dengan kehadirannya, lebih-lebih lagi rumah kami dihuni lelaki bujang.
“Selama wanita itu berada di sini, saya tak ada dengar sangat mereka bergaduh atau kanak-kanak dipukul kerana saya jarang ada di rumah.
“Saya perasan tong ikan yang guna untuk tadah air hilang. Masa saya tanya (suspek), dia kata dah bagi orang.
“Saya betul-betul terkejut apabila dapat tahu tong yang hilang itu ada dalam bilik dia dan dalam itu ada mayat pula,” katanya ketika ditemui, di sini.
Mohd Hisham berkata, teman wanita suspek meminta bantuan membawa anak perempuannya yang tidak sedarkan diri akibat dipukul teman lelakinya ke hospital.
“Saya bergegas membawa kanak-kanak itu ke rumah jiran untuk disembunyikan. Waktu itu jugalah dia memberitahu anak lelakinya sudah mati dan mayatnya disorok dalam tong ikan di dalam bilik,” katanya.
Mendengarkan perkara itu, katanya, jiran terbabit segera menghubungi polis bagi melaporkan kejadian.
ACP Md Zukir menambah, siasatan awal pihak polis mendapati kedua-dua adik beradik itu telah menjadi mangsa dera ibu mereka dan teman lelakinya.
“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah amphetamine,” katanya.
Susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan ibu mangsa berusia 26 tahun di flat terbabit pada 6 pagi tadi bagi membantu siasatan.
Kes disiasat berasingan iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendera.