15
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Morten Lundal berkata ketika Maxis sedang membangunkan pelan baharunya, ada sesetengah pelanggan individu ditawarkan pelan khas yang menimbulkan kemarahan kebanyakan pelanggannya kerana merasakan ia tidak adil dan tidak telus.
“Baru-baru ini pusat panggilan dan media sosial kami dibanjiri dengan pandangan negatif terhadap Maxis. Sudah tentunya kami mengambil berat tentang perkara ini,” katanya dalam laman Facebook Maxis menerusi Live Service hari ini.
Beliau berkata Maxis sentiasa menumpu menawarkan produk unik yang menyeronokkan pelanggan, dan oleh kerana perkembangan pantas dalam pasaran sekarang, tumpuan diberikan untuk menyediakan lebih banyak data.
“Kami telah menyediakan tawaran kami sendiri tetapi kami mengambil masa yang terlalu lama kerana kami mahu menambah lebih banyak ciri-ciri lebih baik dan bukan hanya sekadar data,” katanya.
Maxis juga mengumumkan rancangannya untuk menaik taraf secara automatik semua pelanggan pelan MaxisOne kepada kuota data yang lebih tinggi tanpa sebarang kos tambahan dan ini akan dilancarkan bulan depan.
Dalam video tersebut, Ketua Perniagaan Konsumernya, Dushyanthan Vaithiyanathan berkata pelanggan MaxisONE dengan pelan 1GB akan ditambah kepada 5GB manakala pelanggan dengan pelan 3GB akan dinaikkan kepada 8GB.
“Tidak seperti mana-mana pelan baharu lain dalam pasaran, kami tidak mengehadkan manfaat ini kepada pelanggan baharu sahaja tetapi kepada semua pelanggan MaxisOne.
“Selain menaikkan kuota ini, kami juga akan mengumumkan inovasi seterusnya yang akan membolehkan pelanggan kami melakukan banyak perkara dengan data mereka dalam rangkaian kami,” katanya sambil menambah perubahan yang sama juga akan dibuat bagi pelanggan Maxis One Business. – Bernama