Maxis, Astro tidak terkesan dengan kes pengubahan wang haram di India

Maxis dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Maxis Communications merupakan entiti yang berasingan dan prosiding yang sedang berlangsung itu memiliki perundangan yang berbeza.

Biro Penyiasatan India (CBI) sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap ke atas dua warga Malaysia dan dua syarikat Malaysia berhubung kes pengubahan wang haram antara Aircel dan Maxis melibatkan Menteri Komunikasi India, Dayanidhi Maran serta saudara kandungnya, Kalanithi Maran.

Menurut portal New Indian Press, dua rakyat Malaysia yang dituduh terlibat dalam kes itu ialah taikun telekomunikasi, Ananda Krishnan dan Augustus Ralph Marshall serta empat syarikat iaitu Sun Direct TV Pvt. Ltd. (SDTPL), Maxis Communication Berhad, South Asia Entertainment Holding Ltd. dan Astro All Asia Network.

Sementara itu, Astro Malaysia Holdings Bhd (AMH) juga menjelaskan bahawa Astro All Asia Networks plc, yang sedang disiasat oleh Biro Siasatan Pusat India, tidak mempunyai kaitan dengan syarikat tesebut.

“Lembaga pengarah ingin menjelaskan bahawa entiti yang disebut dalam laporan media adalah sebuah entiti yang memiliki perundangan yang berasingan, ia bukan sebahagian daripada Kumpulan Syarikat Astro.

“Perkara itu tidak melibatkan, atau memberi kesan ke atas AMH, entiti yang tersenarai dalam Bursa Malaysia Securities,” katanya.

Badan Penguatkuasaan Direktorat (ED) pada 25 Mei lalu telah mengeluarkan saman di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram (PMLA) untuk memeriksa Ananda Krishnan.

Keesokan harinya, satu lagi saman dikeluarkan untuk memeriksa Ralph Marshall dan kedua-dua saman itu telah dihantar ke Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri.

Mahkamah memerintahkan sebutan kes dilanjutkan pada 27 Ogos ini.

Related Articles