Portal hiburan The Hollywood Reporter melaporkan bahawa peguam Matthias Chang dan bekas pemimpin PAS Husam Musa secara sukarela menggugurkan saman itu tanpa prejudis, menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada Jumaat.
Bagaimanapun, tidak ada sebab dinyatakan tentang mengapa mereka tuntutan tersebut digugurkan, menurut laporan.
Pada 14 Ogos, Chang dan Husam memulakan tindakan terhadap syarikat itu, bersama-sama dengan Riza Aziz dan Joey McFarland, mendakwa Red Granite telah menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menghasilkan filem The Wolf of Wall Street.
Dalam satu kenyataan, Red Granite memberitahu The Hollywood Reporter bahawa pengguguran terhadap tuntutan semberono itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan.
“Sejak awal lagi ia tidak sepatutnya difailkan. Red Granite akan terus bekerja dalam menghasilkan projek-projek baharu yang menarik,” katanya.
Walaupun pengguguran itu telah dibuat, dilaporkan bahawa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat masih menyiasat dana filem itu.
Walau bagaimanapun pada bulan lepas, mahkamah bersetuju untuk membenarkan penerbit filem itu untuk terus bekerja seperti biasa sementara menunggu siasatan.
Riza Aziz, pengasas bersama Red Granite, adalah anak kepada Datin Seri Rosmah Mansor dan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, memetik mStar Online.