Masalah seksual lelaki dijangka meningkat seiring penyakit kronik

Ketua Jabatan Perubatan Keluarga Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Shaiful Bahari Ismail berkata, antara masalah kesihatan seksual dan reproduktif lelaki yang kerap berlaku termasuk ejakulasi pramatang, disfungsi ereksi, sindrom kekurangan hormon testosteron dan infertiliti (kemandulan) akibat faktor lelaki.

Dr Shaiful berkata ia berikutan sikap kaum Adam yang kurang cenderung mendapatkan rawatan secara berkala di hospital terutama berkaitan penyakit kronik seperti diabetis, tekanan, jantung, kolestrol tinggi dan obesiti yang berkait rapat dengan masalah seksual lelaki.

“Begitu juga dengan amalan merokok yang mempunyai kesan langsung kepada masalah seksual dengan kajian pada 2005 menunjukkan 48 peratus lelaki di negara ini mengalami masalah seksual.

“Bila kadar penyakit kronik ini meningkat saya jangkakan masalah seksual juga akan meningkat walaupun belum ada data terkini yang menunjukkan peningkatan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran bukunya yang bertajuk Masalah Seksual Lelaki Dalam Kesejahteraan Suami Isteri di HUSM Kubang Kerian di Kubang Kerian pada Ahad. – Bernama

 

Related Articles