KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Shah Alam memerintahkan bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam membayar denda RM100 kerana berkelakuan kurang sopan terhadap seorang individu, bulan lalu.
Majistret Sasha Diana Sabtu memutuskan denda tersebut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.
Manikavasagam mengaku salah dan memaklumkan kepada mahkamah beliau kini adalah pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dan bersedia membayar denda ditetapkan.
Manikavasagam yang juga bekas Ketua PKR Cabang Kuala Selangor dituduh berkelakuan kurang sopan terhadap seorang individu dengan menghantar mesej kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Subang Jaya, dekat sini, pada jam 3.27 petang, 4 Januari lalu.
Manikavasagam yang merupakan wakil rakyat sepenggal bertindak keluar PKR pada April 2018 selepas keahliannya digantung pada Ogos 2017.
Sasha Diana kemudian menjatuhkan hukuman denda RM100 atau penjara tiga hari sekiranya tertuduh gagal membayar denda ditetapkan. -MalaysiaGazette