Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menerima laporan jangkitan itu pada 14 September lalu yang dikesan melalui Sistem Survelan Virus Zika.
Beliau berkata pesakit telah mengalami gejala demam, loya dan cirit-birit pada 28 November dan menerima rawatan pertama pada 30 November di Klinik Kesihatan Tangling di sini, tetapi ujian darah tidak menunjukkan kelainan yang signifikan.
“Pada 1 Disember, pesakit kembali ke klinik dengan gejala bisa badan dan sendi namun saringan denggi menunjukkan keputusan negatif, dan kes dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Petaling sebagai disyaki denggi dan pesakit diminta kembali setiap hari bagi memantau ujian darah.
“Sampel darahnya telah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian flavivirus yang lain (yellow fever, chikungunya dan Zika) selaras dengan protokol saringan flavivirus kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan Ahad.
Dr Noor Hisham berkata pada 9 Disember, MKAK memaklumkan keputusan positif bagi Zika dan sampel telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk pengesahan di samping sampel tambahan air kencing, dan IMR mengesahkan ia juga positif bagi Zika pada 14 Disember.
Katanya aktiviti kawalan telah dilaksanakan di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit di samping mengambil sampel darah dan air kencing keluarga terdekat untuk ujian saringan Zika.
“Selain itu, ‘Active Case Detection’ sedang dijalankan di kawasan kediaman kes untuk mengenal pasti sekiranya ada penduduk setempat yang mengalami gejala Zika,” katanya.
Beliau berkata masyarakat dinasihatkan untuk memastikan kawasan di dalam dan di luar rumah sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes dan mengambil langkah-langkah perlindungan diri daripada gigitan nyamuk.
“Bagi individu yang mengalami gejala Zika seperti demam, ruam, sakit kepala, sakit otot dan konjunktivitis serta pernah melawat ke negara endemik Zika atau mempunyai hubungan kepada pesakit Zika, hendaklah berjumpa doktor dengan kadar segera,” katanya. – Bernama