Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kesemua mangsa tiba di jeti berkenaan kira-kira 1 pagi tadi dengan bot mereka ditunda oleh kapal APMM.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan ketibaan mereka disambut anggota keluarga dan rakan-rakan,” katanya dalam kenyataan di Johor Bharu hari ini.
Rahmat berkata siasatan mendapati berlaku kebocoran pada saluran minyak ketika bot tersebut dalam perjalanan pulang ke darat pada pagi Khamis lepas yang kemudiannya menyebabkan bot itu kehabisan minyak.
Bot nelayan itu, yang membawa seorang tekong, seorang awak-awak dan 10 kaki pancing, bertolak dari jeti Tanjung Sedili pada Selasa dan sepatutnya pulang pada Khamis.
Bagaimanapun, kedudukan terakhir bot itu dikesan di perairan Pulau Aur, kira-kira empat batu nautika dari Pulau Jemaja, Indonesia.
Laporan kehilangan mangsa dibuat oleh isteri tekong yang juga pemilik bot itu pada 6.30 petang, dua hari lepas, setelah gagal menghubungi suaminya.
Bot itu kemudian dikesan pada 6.15 petang semalam oleh aset udara APMM di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut, Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi. – Bernama