Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan memantau perancangan kumpulan tersebut sama ada ia akan dilakukan atau tidak.
“Jika Malaysiakini melihatnya seperti itu (terancam), buatlah laporan polis,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-kanak (NUR Alert) di Bukit Aman, Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan menghimpunkan penyokongnya di pejabat Malaysiakini di Jalan Tandang, Petaling Jaya pada Sabtu.
Pada Khamis, sekumpulan ahli Baju Merah yang diketuai Jamal melakukan bantahan terhadap Malaysiakini di pejabat agensi berita itu kerana didakwa menerima dana dari George Soros.
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dilaporkan sebagai berkata, sebahagian daripada bangunan Malaysiakini akan runtuh jika tidak membuat penjelasan mengenai laporan mereka berhubung dana berkenaan.
“Saya beri anda sehingga tengah hari 5 November (Sabtu). Jika kami tidak menerima sebarang penjelasan, kami akan berhimpun di sini dan pastinya sebahagian daripada bangunan ini akan runtuh,” katanya memetik mStar Online.