Malaysia Tidak Anti Mana-Mana Negara, Tegas Anwar

PUTRAJAYA: Malaysia jelas menolak aktiviti pemusuhan atau anti terhadap mana-mana negara, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan biar pun diasak pelbagai soalan daripada media asing berhubung dasar luar Malaysia, beliau berkata, tumpuannya adalah untuk memperbetulkan struktur dan ekonomi serta mengangkat kembali martabat negara.

“Cuma ada beberapa hal yang dibesarkan, soal Palestin dan China kerana banyak negara Barat agak sangsi mengapa nampak kita berdamping dengan China dan jawapan saya mudah, kita negara kecil, kita mahu berkembang, kita jaga kemaslahatan rakyat.

“Jadi apabila saya ditanya soalan, bab Chinafobia atau Sinofobia, saya jawab tak ada sebab untuk ada permusuhan dan anti sesiapa,” katanya dalam ucapan sempena perjumpaan beliau bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Jelas Anwar lagi, kerajaan pimpinannya mengambil pendekatan untuk menggalakkan pelaburan dari Timur ke Barat yang akan memberi manfaat kepada kepada Malaysia.

Tambah beliau lagi, pendirian sama turut dipamerkan Malaysia berhubung konflik di Palestin yang dipertikaikan negara Barat.

“Malah dengan Amerika Syarikat (AS) sekali pun, kita berbeza pendapat kerana sikap mereka dalam soal perang Israel, Palestin atau pun keganasan kezaliman Zionis Israel ke atas bumi Palestin khususnya Gaza dan kita suarakan dengan terang.

“Tetapi kalau anak kecil, bayi, wanita, orang tidak bersalah itu dihancurkan setiap hari maka berdepan dengan Presiden Joe Biden, tentunya saya ambil kekuatan untuk menyatakan sikap pendiriannya.

“Saya kata saya tidak bangkitkan soal dia iktiraf Israel, soal dia sokong Israel, saya kata hentikan kezaliman dan pembunuhan ini segera seperti saudara tahu saya berdepan Joe Biden beberapa bulan lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata, Malaysia masih mengekalkan pelaburan dari AS sebagai pelaburan nombor satu negara dan sentiasa menyambut baik kehadiran mereka.

“Begitu juga terkait China, ini negara jiran dan kita tidak ada sebab nak menimbulkan permusuhan walaupun ada sedikit perbezaan pendapat, kita bincang tetapi dalam beberapa hal, pelaburan soal kerjasama, hubungannya sangat baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Related Articles