Ekonomi Malaysia kebelakangan ini tidak menentu, berikutan harga barangan eksport tidak menentu; pasaran minyak negara mengalami kerugian disebabkan oleh penurunan harga minyak dunia; kejatuhan nilai Ringgit Malaysia dan kenaikan harga barang telah menyebabkan orang ramai tidak berpuas hati. Kerajaan BN pimpinan Najib telah mengambil langkah menjalinkan hubungan ekonomi dengan China dalam usaha untuk keluar daripada belenggu ekonomi dengan mencari sokongan besar negara China.
Bagaimanapun timbul pula isu lain, semua orang nampak kerajaan BN kini sedang bermain dengan “kad China” melalui hubungan baik Malaysia-China untuk menggalakkan pelabur China datang membantu pembangunan negara, menstabilkan ekonomi dalam usaha meraih semula hati rakyat.
Parti Cina dalam kerajaan pula mengambil kesempatan hubungan baik Najib dengan China dengan menjadikannya sebagai propaganda untuk menarik kembali sokongan pengundi Cina kepada BN agar pada PRU14 nanti dapat menewaskan DAP dan PKR.
Sudah tentu PH dan PPBM tahu BN menggunakan hubungan baik dengan negara China sebagai strategi. Jika 2 hingga 3 peratus pengundi Cina yang pernah menyokong PR dulu berpaling kepada BN, beberapa kerusi DAP dan PKR mungkin berisiko tinggi. Sekiranya lebih 3 peratus pengundi berpihak kepada BN, maka beberapa kerusi DUN dan Parlimen yang dimiliki DAP dan PKR sekarang mungkin akan bertukar tangan.
DAP, lebih-lebih lagi PKR dan PPBM, sudah tentu tidak gembira apabila BN bermain dengan “kad China”. Ini ialah kerana PPBM baru sahaja mahu bertapak dan memerlukan pertolongan DAP dan PKR supaya mempunyai peluang untuk menang di kawasan lemah UMNO. Jika DAP dan PKR tewas di kawasan Cina pada PRU14, meskipun PPBM menang besar, adalah sukar untuk menubuhkan kerajaan Pusat yang kukuh dan kuat.
Justeru itu, Mahathir dan Muhyiddin berulang kali menyelar kerajaan BN pimpinan Najib menggadaikan kedaulatan negara, membenarkan pelabur asing merampas periuk nasi rakyat Malaysia. Tujuan Mahathir dan Muhyiddin adalah untuk menarik perhatian rakyat Malaysia bersama-sama mengecam BN dan terus memberi sokongan kepada PH dan PPBM untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Mahathir, sepanjang 22 tahun menjadi PM, banyak belajar daripada mantan PM, Tun Razak berkaitan dengan pentadbiran negara. Pada PRU 1974, BN telah menang besar dan salah satu faktornya ialah perjumpaan rasmi Tun Razak dengan Presiden China, Mao Ze Dong dan beberapa peristiwa bersejarah yang lain.
Berasaskan hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia-China, Tun Razak, MCA dan GERAKAN bermain dengan “kad China” sepanjang kempen PRU untuk meraih sokongan pengundi Cina, dan akhirnya UMNO, MCA dan GERAKAN menang besar dan berjaya mempertahankan rejim di Pulau Pinang.
Mahathir cuba menggunakan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan isu hutang 1MDB untuk menjatuhkan BN. Bagaimanapun Mahathir tidak berjaya sebaliknya hubungan Malaysia-China menjadi semakin kukuh malah China dengan berbesar hati membantu merangsang ekonomi Malaysia dengan menyuntik pelaburan. Dengan ini, rakyat lebih yakin dan berasa selamat dengan ekonomi negara.
Dalam PRU akan datang, BN bukan sahaja akan bermain dengan kad hubungan kerjasama Malaysia-China, kemungkinan besar kejayaan pada PRU 1974 akan berulang semula. Poster Najib berjabat tangan dengan Presiden China Xi Jing Ping akan digantung di merata-rata kawasan bagi menonjolkan lagi hubungan akrab Malaysia-China, dengan harapan ia dapat menyentuh hati rakyat termasuklah menarik semula sokongan pengundi Cina kepada BN.
Jika strategi “kad China” berjaya membawa sokongan rakyat terus kepada BN, maka impian pemimpin pembangkang seperti Mahathir, Muhyiddin, Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu untuk mengubah rejim hanya tinggal angan-angan. – Oriental Daily