Malaysia sedia tempatkan pakar perubatan negara bantu rawat rakyat Palestin

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dalam segala aspek, termasuk menempatkan pakar perubatan Malaysia bagi menyokong keupayaan hospital yang sedang merawat rakyat Palestin di Mesir.

Komitmen itu dinyatakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, kepada Pengerusi PRCS, Tarek Arafat, dalam lawatannya ke Hospital Palestin di Kaherah, Mesir, semalam.

Program itu turut disertai beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, sempena Lawatan Khas Ahli-Ahli Parlimen Malaysia ke Mesir dari Rabu lalu hingga esok.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, Mohamad serta delegasi diberikan taklimat mengenai situasi kemanusiaan dihadapi rakyat Palestin di Gaza dan peranan dilaksanakan Hospital Palestin dalam memberi rawatan kepada mangsa serangan tentera Israel di Gaza.

“Timbalan Menteri Luar turut meluangkan masa menyantuni rakyat Palestin yang sedang dirawat dan petugas di hospital berkenaan,” katanya.

Antara pesakit dilawati delegasi Malaysia ialah rakyat Palestin, Abdul Kareem yang ditembak dari belakang oleh tentera Israel sehingga menyebabkan separuh paru-parunya terpaksa dibuang.

Selain itu, Kementerian Luar memaklumkan, Mohamad turut bertemu bekas Menteri Kesihatan Mesir, Prof Dr Adel Al Adawi, dan Ahli Lembaga Pengelola Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC).

Pertemuan itu yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERC, Dr Rami Al Nazer, menyentuh mengenai usaha boleh dimainkan bagi memastikan semua bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza sampai kepada pihak yang sewajarnya.

“Timbalan Menteri Luar turut meneroka kebolehlaksanaan penyaluran bantuan kemanusiaan melalui jalan laut, dan peranan lain yang boleh dimainkan Malaysia untuk meringankan kesengsaraan dihadapi rakyat Palestin di Gaza.

“Beliau menegaskan Malaysia meletakkan harapan tinggi dan akan sentiasa menyokong usaha dijalankan Mesir untuk runding gencatan senjata serta penyaluran bantuan kemanusiaan secara berkesan ke Gaza,” katanya.

Pada pertemuan itu, Mohamad turut menyerahkan sumbangan berjumlah AS$500,000 (RM2.39 juta) kepada PRCS dan AS$250,000 (RM1.19 juta) kepada ERC, daripada dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar.

Lawatan Khas Ahli-Ahli Parlimen Malaysia ke Mesir bertujuan memperlihatkan kepada dunia akan sokongan Malaysia terhadap Palestin, dan komitmen berterusan bantuan kemanusiaan kepada rakyatnya.

Selain itu, ia juga memberi peluang Ahli Parlimen Malaysia melihat situasi sebenar penghantaran bantuan memasuki Gaza, dengan bantuan Kerajaan Mesir supaya dapat dilaksanakan secara lebih lancar. -Berita Harian

Related Articles