Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata masalah jerebu rentas sempadan dapat diatasi jika tradisi Indonesia yang membenarkan pemilik tanah kecil untuk membersihkan tanah melalui kaedah pembakaran terbuka diberhentikan.
“Saya faham ia merupakan tradisi atau peraturan dalaman yang dilaksanakan oleh Indonesia tetapi kalau boleh kita (Malaysia) hendak peraturan itu diberhentikan.
“Contohnya, jika setiap pemilik tanah yang berkeluasaan kurang daripada dua hektar dibenarkan membakar, apa akan jadi jika terdapat 100 pemilik tanah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Juruukur Antarabangsa ke-18 di ibunegara hari ini.
Kongres dua hari itu yang bermula hari ini dianjurkan Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk memahami lebih baik mengenai isu semasa termasuk peluang dan cabaran dalam pasaran hartanah serta industri pembinaan.
Wan Junaidi berkata Malaysia akan menunggu untuk melihat instrumen yang bakal dicadangkan oleh Indonesia dalam mesyuarat teknikal yang akan diadakan pada 30 Mei ini sebelum membawa cadangan mengkaji semula undang-undang itu.
Katanya mesyuarat teknikal itu akan dihadiri lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.
Beliau juga yakin masalah jerebu rentas sempadan itu dapat diselesaikan melalui kaedah tangani secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang dicadangkan oleh Indonesia untuk digunakan oleh kedua-dua negara itu dalam mengatasi masalah jerebu.
Sementara itu, beliau juga menjelaskan Malaysia hanya berdepan masalah jerebu bermula bulan hadapan jika Wilayah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia mengalami cuaca panas dan kering, terdapat perubahan angin monsun barat ke timur serta berlaku pembakaran di Indonesia.
“Malaysia tidak akan mengalami jerebu jika ketiga-tiga elemen ini tidak berlaku,” katanya.
Semalam, media memetik Wan Junaidi berkata Malaysia dijangka berdepan masalah jerebu bermula bulan hadapan hingga Oktober berikutan cuaca panas dan kering di Wilayah Sumatera serta Kalimantan. – Bernama