Malaysia bukan langsung tiada kebaikan

Katanya, negara kini sedang menikmati pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan juga telah mencatatkan pembangunan ekonomi yang pesat sekali gus berjaya mengecap kemakmuran.

Dalam tempoh tiga suku pertama tahun 2016, perdagangan Malaysia telah berjaya mencecah RM1.077 trilion, termasuk RM568.36 bilion dalam eksport.

Ka Chuan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II berkata jumlah perdagangan Malaysia telah meningkat sebanyak 0.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Ini dapat dilakukan melalui kerja keras berterusan masyarakat Cina dan perniagaan-perniagaan daripada semua kaum.

“Malaysia bukannya sebuah negara yang langsung tiada kebaikan, seperti yang dilihat oleh sesetengah orang. Hanya lihat kepada asas perdagangan kita sebagai contoh, ia sentiasa kekal kukuh dan berkembang secara sihat walaupun terdapat suara-suara negatif terhadap negara ini,” katanya kepada perwakilan dalam mesyuarat agung tahunan Wanita MCA pagi Sabtu

Meskipun demikian, Ka Chuan dalam masa yang sama mengakui terdapat beberapa kelemahan di kalangan pemimpin politik dan juga penjawat awam.

Jelasnya, Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah, perlu mengenal pasti punca masalah yang timbul seperti yang disebutnya.

Beliau berkata kerajaan juga perlu mengambil langkah yang sesuai untuk menangani kebimbangan rakyat seperti kenaikan harga, isu keselamatan dan kelemahan penguatkuasaan untuk memastikan masyarakat terus hidup aman dan makmur.

Susulan daripada itu, Ka Chuan menggesa ahli-ahli parti, tidak kira usia, untuk bekerjasama memberi nafas baharu kepada parti.

“Ahli-ahli kita adalah sumber yang paling berharga.

“Ahli-ahli parti kanan mesti menjadi mentor kepada ahli muda dan memberi mereka ruang mencukupi untuk terus berkembang,” katanya.

Related Articles