“Kami terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi dengan ahli parlimen Perancis.
Malaysia bimbang kerana cadangan itu adalah untuk menaikkan cukai import bagi minyak sawit sahaja dan bukan minyak sayuran lain.
“Cukai itu perlu adil dan dikenakan juga ke atas minyak sayuran lain,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya, hari ini.
Mah berkata semakan semula ke atas cukai minyak sayuran dijangka dibincangkan di Parlimen Perancis pada November.
Beliau yang baru pulang daripada lawatan kerja ke Belgium, Perancis dan United Kingdom berkata cadangan cukai itu adalah satu diskriminisi dan sekiranya Perancis menaikkan cukai tersebut, Kesatuan Eropah juga akan turut berbuat demikian.
“Minyak sawit adalah tanaman paling produktif dan membentuk komponen penting dalam rangkaian bekalan makanan,” katanya.
Mah mempertahankan bahawa minyak sawit Malaysia adalah minyak yang baik dan sihat yang tidak mengandungi makanan diubahsuai secara genetik dan terbukti dari segi saintifik mempunyai ciri-ciri yang sama seperti minyak zaitun.
Pemain industri menyatakan potensi krisis sekarang yang bakal dihadapi industri adalah penggunaan minyak sawit bagi tenaga dengan serangan sekarang tertumpu kepada kelestarian.
Penanaman sawit di Malaysia sentiasa dipersalahkan kerana penebangan hutan meluas yang memusnahkan biodiversiti, menjejaskan ekosistem, melepaskan gas rumah hijau dan karbon yang menyumbang kepada perubahan iklim dan isu pekerja yang bekerja dalam suasana yang berat sebelah.
Bagi pertubuhan bukan kerajaan, penebangan hutan di negara membangun perlu dihentikan manakala kelestarian sebenarnya dikaitkan dengan harga minyak sawit.
Persepsi pasaran yang melabelkan minyak sawit sebagai ‘tidak lestari’ akan memberi implikasi ekonomi iaitu diskaun harga tinggi minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.
Kunjungan Mah itu yang bermula dari 5 hingga 10 Sept, bertujuan untuk mempromosikan minyak sawit, getah dan kayu dan bagi menangani kebimbangan cukai makanan Perancis dan isu-isu keselamatan makanan berkaitan dengan minyak sawit serta isu persijilan kayu di Belanda.
Minyak sawit menyumbang kira-kira €167 juta (RM760 juta) kepada hasil cukai kepada Perancis. –Bernama