Malaysia Airlines Beli 50 Boeing 737

Serahan pesawat-pesawat buatan syarikat dari Amerika Syarikat tersebut akan bermula pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew menyifatkan janji niaga tersebut sebagai pembawa perubahan bagi syarikat penerbangan negara itu dengan pendekatan kos lebih murah dan kecekapan lebih tinggi.

Katanya, dengan keupayaan jarak jauh 737 MAX, Malaysia Airlines akan dapat menghubungkan penumpangnya ke lebih banyak destinasi dengan pesawat yang lebih selesa.

“Janji niaga itu adalah pembawa perubahan bagi MAB de­ngan kos lebih murah dan kecekapan yang lebih tinggi, yang akan disalurkan kepada pelanggan setianya menerusi tambang lebih rendah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Janji Niaga Antara MAB dan Bo­eing.

Yang turut hadir Menteri Pe­ngangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi MAB, Tan Sri Md. Nor Yusof dan Naib Presiden Kanan Pemasaran Aisa Pasifik dan India Boeing, Dr. Dinesh Keskar.

Malaysia akan menerima pesawat campuran varian 737 MAX 9 dan 737 MAX 8.

Untuk rekod, MAB mengope­rasikan hampir setiap varian kumpulan pesawat 737 dan me­nerima serahan pesawat 737 ke-100 pada Disember 2014.

Ketika ini, MAB beroperasi dengan 56 pesawat 737-800.

Jelas Bellew, penggunaan pesawat 737 MAX tersebut akan membawa kepada penjimatan sehingga 40 peratus daripada segi penggunaan bahan api selain menawarkan lebih ruang tempat duduk sebanyak 12 peratus.

“MAB kini berada di landasan betul untuk pertumbuhan yang lebih baik di rantau ASEAN. Tempahan pesawat-pesawat ini akan meletakkan standard baharu dalam pelan pemulihan berte­r­usan MAB untuk 10 tahun akan datang,” katanya.- Utusan Malaysia

Related Articles