MAIS junjung titah Sultan Selangor

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan umat Islam agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata dalam hal berkenaan, MAIS komited untuk bersama-sama membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam memberi sumbangan, saranan dan idea.

“Ia bagi memudahkan jawatankuasa menganalisa dan mencadangkan kaedah terbaik bagi memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah Syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana hasrat Sultan Selangor.

“Oleh itu, MAIS menyeru umat Islam bertenang memberi peluang kepada Jawatankuasa Khas yang telah dilantik untuk membincangkan isu ini secara terperinci,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Menerusi kenyataan sama, beliau memaklumkan MAIS juga menyokong titah Sultan Selangor agar Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebagai pemegang amanah tunggal wakaf bekerjasama dengan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menjayakan usaha pembangunan wakaf di seluruh Malaysia.

Katanya, MAIS turut menyambut baik hasrat baginda untuk memperkukuhkan pendidikan agama Islam di negeri ini khasnya mengenai kepentingan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pelajar tahfiz untuk memahami makna sebenar ayat-ayat al-Quran.

“Bagi menyokong hasrat ini, MAIS sudah menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Tahfiz Negeri Selangor bagi memastikan pelaksanaan program-program pendidikan Islam di Selangor dilaksanakan dengan berkesan.

“MAIS juga menyeru agar semua umat Islam di Selangor tidak menyalahgunakan agama demi kepentingan peribadi bagi mengekalkan keharmonian dan kemuafakatan dalam negara malah ilmuwan Islam turut diseru untuk meraikan perbezaan pendapat serta menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta memenuhi saluran yang betul.

“Perkara ini selaras dengan titah Sultan Selangor agar umat Islam di negara ini terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemakmuran negara,” katanya. -Berita Harian

Related Articles