Azalina berkata, ia kerana ketiga-tiga negeri itu mencatatkan kes jenayah siber yang tingi berbanding negeri lain di seluruh negara.
“Bagi fasa pertama, Mahkamah Khas Siber ini dijangka mula beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula September 2016. Fasa seterusnya akan diikuti di negeri Selangor dan Johor kerana ketiga-tiga negeri ini mencatatkan kes jenayah siber yang tinggi. Kemudian akan disusuli di negeri-negeri lain.
“Bagi memastikan Mahkamah Khas Siber ini dapat mencapai matlamat penubuhannya, hakim-hakim dan pihak-pihak yang terlibat akan diberikan latihan yang menyeluruh dan mencukupi bagi memastikan mahkamah ini dapat berfungsi dengan baik,” katanya, dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Azalina berkata, beliau turut memaklumkan kepada Kabinet berkenaan cadangan tersebut, yang mana diwujudkan membicarakan kesalahan jenayah di bawah Undang-Undang Siber.
Perkara itu juga katanya telah dimaklumkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Datuk Seri Arifin Zakaria.
“Penubuhan Mahkamah Khas Siber ini adalah sebagaimana penubuhan mahkamah-mahkamah khas lain seperti Mahkamah Khas Rasuah, Mahkamah Khas Koroner, Mahkamah Khas Antipencatutan dan Mahkamah Khas Alam Sekitar dan sebagainya. Hakim-hakim yang khusus akan mendengar kes-kes berkaitan Undang-Undang Siber,” katanya.
Azalina juga berkata, kerajaan berpendapat sudah tiba masanya Mahkamah Khas Siber ini diwujudkan susulan daripada trend serangan siber yang membimbangkan seperti penggodaman, penipuan dalam talian, botnet, web-defacement, kecurian maklumat, pengintipan, judi siber, pornografi dan lain-lain.
“Pada masa yang sama kerajaan juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk NGO.
“Justeru, satu Memorandum Jemaah Menteri berkenaan dengan penubuhan Mahkamah Khas Siber ini akan dibentangkan dalam masa terdekat,” katanya.