Mahkamah Bebaskan Ibu Simbah Anak Dengan Air Panas Kerana Tonton Video Lucah

KUALA LUMPUR: Ibu menyimbah anak lelakinya dengan air panas kerana marah mangsa menonton video lucah diringankan hukuman kepada penjara selama tempoh dijalani berbanding hukuman tiga tahun penjara sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Ayer Keroh Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan perayu berusia 38 tahun, mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada 31 Jan, mensabitkan hukuman tiga tahun penjara atas pertuduhan itu.

Beliau berpuas hati dengan alasan perayu bahawa itu kesalahan pertamanya yang juga perlu menjaga bayi berusia lapan bulan selain kejadian itu terpencil dan tiada rekod anak-anak lain turut didera..

”..dengan ini saya membuat perintah tertuduh dipenjarakan pada tempoh masa yang mana beliau akan dibebaskan pada hari ini,” katanya menurut Harian Metro.

Perayu yang diwakili peguam Samry Masri, Mohd Wafiyuddin Al-Awal dan Khairunnisa Zamhari memfailkan rayuan pada 13 Feb kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Dalam rayuannya ibu kepada lima anak itu juga menyatakan dia menghidap penyakit psikiatri serta mempunyai seorang anak autisme.

Sementara itu, Samry berkata, keputusan itu menyaksikan anak guamnya hanya menjalani hukuman penjara selama enam bulan dan tiga hari di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang.

“Anak guam akan dibebaskan hari ini selepas mahkamah bersetuju mengurangkan hukuman penjara tiga tahun kepada selama mana dia sudah menjalani hukuman.

“Hari ini dia boleh kembali ke pangkuan keluarga terutama anaknya yang berusia lapan bulan.“Dia bersyukur dan insaf atas apa yang berlaku apatah lagi kes ini terpencil dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.

Pada 31 Jan, wanita itu dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka selepas mengaku bersalah menyimbah air panas pada anak lelakinya yang berusia 13 tahun kerana marah mangsa menonton video lucah di telefon bimbit.

Menurut Sinar Harian, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang, kira-kira 2.56 pagi pada 27 Jun 2022.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Related Articles