Mahkamah arah Ketua Ajaran Harun periksa kesihatan

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman mengarahkan Harun melakukan pemeriksaan kesihatan di Bahagian Perubatan dan Neurologi (saraf) untuk mengemukakan laporan perubatan berhubung kesihatan tertuduh.

Beliau berkata, laporan kesihatan itu bagi memastikan keadaan fizikal dan mental tertuduh ketika ini layak untuk dia tampil memberi keterangan selepas diperintahkan membela diri.

Mahkamah menetapkan laporan kesihatan dikeluarkan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu dan menyerahkan kepada semua pihak sebelum 22 Ogos ini.

Ketika prosiding pada Selasa, Harun dibawa masuk ke kamar mahkamah menggunakan kerusi roda kerana menghidap penyakit angin ahmar, menyebabkan dia sukar melihat serta tidak boleh bergerak dan bercakap.

Seterusnya, Ab Karim mengarahkan perbicaraan diteruskan kepada lima lagi pengikutnya dengan memanggil saksi pembelaan pertama, iaitu isteri ketiga tertuduh, Azida Mohd Zol, 33.

Dalam perbicaraan tersebut, Azida yang merupakan bekas pensyarah Kolej Universiti Tati, Kemaman, Terengganu memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mula mengenali dan seterusnya berkahwin dengan Harun sekitar 2011.

Azida yang mengenali Harun sebagai penasihat Pertubuhan Kebajikan dan Ekonomi Nur Kasih sebelum ini, menerangkan kepada mahkamah bahawa dalam tempoh perkahwinan mereka itu, tahap kesihatan Harun berada dalam keadaan baik secara fizikal dan boleh berkomunikasi secara normal selepas mengidap angin ahmar ketika berada dalam tahanan reman di Penjara Sungai Buluh, penghujung Julai 2013.

“sebelah kanan badannya tidak boleh bergerak secara fizikal sekali gus dan tidak mampu berkomunikasi dengan baik lagi.

“Saya merupakan orang yang sentiasa berada bersamanya dan mendapati keadaan kesihatan Harun semakin merosot, pergerakan semakin terbatas dan tahap komunikasi semakin berkurangan sehinggakan sukar untuk memahami percakapannya.

“Untuk mengetahui apa yang diperkatakannya, saya terpaksa memintanya mengulangi percakapan beberapa kali atau menulis apa yang ingin disampaikan dan sekiranya betul, Harun akan menganggukkan kepala,” katanya ketika di soal peguambela Amir Hamzah Arshad.

Sementara itu, ketika prosiding sedang berjalan, kedengaran beberapa kali Harun seolah-olah cuba mengeluarkan getaran suara seperti mengeram dan Ab Karim turut bertanyakan kepada Azida maksud Harun mengeluarkan bunyi tersebut.

Azida menyatakan kepada mahkamah bahawa bunyi tersebut adalah biasa dan sering dikeluarkan apabila hendak menyatakan sesuatu.

Terdahulu, sepanjang perbicaraan pada peringkat kes pendakwaan, seramai 54 saksi tampil memberi keterangan.

Harun, 50, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 33, pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, dan tiga pengikut iaitu Jefferi Safar, 39, Sumustapha Suradi, 41, serta Shamsinar Abdul Halim, 39, bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh melakukan konspirasi jenayah membunuh Ahmad Raffli.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di Kuantan, jam 1.50 petang,10 November 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 dan 120B (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung hari ini, sehingga Jumaat ini. – Sinar Harian

Related Articles