Bukan itu saja, kedangkalan bekas Naib Presiden PAS itu terserlah apabila beliau turut mempersoalkan proses pemulihan ekoran pembedahan kecil dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata Mahfuz menampakkan dirinya yang kian tidak keruan apabila mencampuri urusan dalam parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Kedah.
“Pada saya Mahfuz yang sebenarnya sedang sakit kerana dalam keadaan Menteri Besar menjalani rawatan, pemantauan dan pemulihan, pentadbiran negeri berjalan seperti biasa.
“Saya boleh ketengahkan misalnya program Barakah Ihya Ramadhan yang dijalankan di 15 kawasan Parlimen dengan 12,000 golongan sasar menerima bantuan dgn peruntukkan sejumlah RM2.4 juta bermula 11 hingga 20 Jun lalu dan ianya adalah inisiatif Menteri Besar dan dirancang sebelumnya demi menjayakan agenda berkebajikan yang menjadi keutamaan kepimpinannya.
“Kegelojohan Mahfuz yang dilihat cuba mencampuri urusan dalaman parti BN yang mendokong kerajaan Kedah juga tidak kena pada tempatnya kerana gesaan beliau supaya dilantik pemangku Menteri Besar. Realitinya isu ini perihal dalaman parti BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Mahfuz mempersoal kewajaan mesyuarat Exco kerajaan negeri Kedah di HPP selain mendakwa rakyat negeri itu memerlukan Menteri Besar mentadbir dari Wisma Darul Aman bukannya hospital.
Petang semalam juga, Ahmad Bashah yang mendapat rawatan di HPP dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan komplikasi ususnya.
Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata kuasa melantik pemangku atau Menteri Besar sendiri adalah hak mutlak ketua parti yakn Perdana Menteri setelah mendapatkan pekenan Sultan.
Justeru, dengan ‘lampu hijau’ yang terus diberikan Perdana Menteri kepada Ahmad Bashah untuk terus mengemudi negeri maka persoalan ini sama sekali tidak timbul.
“Malah berdasarkan pekeliling pentadbiran dan undang undang tubuh negeri seseorang Menteri Besar yg bercuti secara berterusan selama 28 hari dengan gagal menjalankan tugasanya barulah wujud kewajaran diangkat seorang pemangku.
“Dalam hal ini Ahmad Bashah baru melalui fasa cuti rehat dan sakitnya selama 18 hari dan tiba hari ke 19 beliau sudah memulakan tugasnya demi memikirkan agenda rakyat.
“Jika beliau mahu menyambung cutinya ia akan dikira baharu bermula sebagai hari pertama selepas mesyuarat Exco pada 22 Jun lalu.