MADA sambut baik cadangan kaji semula harga beras putih

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan membuat saranan yang tepat dalam memastikan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bersetuju untuk mengkaji semula harga beras putih import yang terlalu tinggi.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh, berkata sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula harga beras putih tempatan yang kekal pada RM26 setiap 10kilogram (kg) sejak 2008.

Beliau berkata, harga dipacu pasaran untuk beras putih tempatan secara logiknya ditetapkan pada RM30 setiap 10kg, manakala RM 32 setiap 10kg adalah munasabah untuk beras putih yang diimport.

“Harga beras putih yang import itu sepatutnya RM32 setiap 10kg, kenapa pengilang menaikkannya kepada RM40 setiap 10kg, malah melebihi RM50 atau RM60 setiap 10kg? Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan untuk mengawal harga beras import berikutan kenaikan yang terlalu tinggi.

“Jadi, jika kita tetapkan harga beras putih tempatan RM30 setiap 10kg dan beras putih import RM32 setiap 10kg, ia nampak adil,” katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan BERNAS bersetuju untuk mengkaji semula harga beras putih import.

Ini, katanya, akan memberi alternatif kepada rakyat untuk membeli beras pada harga yang lebih berpatutan.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan ketersediaan beras di pasaran dan mengelakkan percampuran kandungan dengan beras putih tempatan dan import dijual pada harga tinggi.

Sementara itu, Ismail turut memohon dan mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan subsidi bersasar bagi mengelakkan sebarang tekanan kewangan kepada B40 berikutan kenaikan harga beras putih tempatan.

Beliau menegaskan, harga beras putih tempatan perlu selari dengan harga pasaran dan bukannya menekannya kepada RM26 setiap 10kg sekali gus dapat memastikan manfaat diterima oleh semua pihak serta memastikan kelestarian industri beras.

“Jika kerajaan berhasrat mengekalkan harga beras untuk mereka (B40) pada RM26 setiap 10kg, manakala harga beras putih tempatan dinaikkan kepada RM30 setiap 10kg, bermakna subsidi kerajaan kepada golongan sasaran adalah sebanyak RM4 setiap kampit. Memandangkan purata penggunaan bulanan adalah dua kampit setiap keluarga, ia menjadikan subsidi sebanyak RM8 sebulan.

“Dengan subsidi RM8 sebulan, kerajaan hanya memerlukan kira-kira RM0.5 bilion setahun untuk menyokong penerima subsidi kepada yang berhak, ini boleh dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan untuk menguatkuasakan kedua-dua harga beras putih keluaran tempatan dan import, yang dicadangkan di bawah skim beras putih Malaysia Madani, Ismail berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

“Memilih untuk kategori beras tunggal bukanlah sesuatu yang saya sokong sepenuhnya. Kami mempunyai undang-undang yang melarang pengelasan beras sedemikian dan beras tempatan mesti mengekalkan identitinya.

“Tidak boleh dicampur dengan beras dari Thailand atau India,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggiling Beras Melayu (PPBMM) Mohamad Termizi Yop mengesahkan harga beras putih import ialah RM3,200 setan metrik.

“Harga ini stabil, tiada turun naik harga berlaku. Mulai sekarang, kami sedang menunggu arahan lanjut daripada kerajaan dan Bernas untuk sebarang pelarasan akan datang,” katanya. -Berita Harian Online

Related Articles