SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan berhubung insiden pencemaran minyak kelapa di Sungai Kundang, kelmarin.
Agensi itu berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu.
Pada masa sama, katanya, pemantauan keadaan semasa akan diteruskan di sungai terbabit dan bersiap siaga untuk tindakan mitigasi yang perlu.
“LUAS melaksanakan pemantauan intensif bermula pagi kelmarin (1 Mac) dan sepanjang malam sehingga semalam di Sungai Sembah, di mana bacaan bau dan pemerhatian keadaan aliran sungai dianalisa dan disemak setiap 30 minit.
“Kerja-kerja pembersihan di lokasi terkesan dengan aliran pencemaran minyak juga dilaksanakan dan dipantau rapi oleh LUAS yang mana selesai sepenuhnya jam 7 malam semalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam perkembangan sama, LUAS memaklumkan verifikasi pihaknya di semua lokasi kerja pembersihan di jajaran Sungai Kundang mengesahkan bacaan 0 ton dan tiada lagi kesan minyak ditemui.
Beliau berkata, operasi pemantauan dan mitigasi ditamatkan jam 7.30 malam setelah mendapati keadaan Sungai Kundang dan Sungai Sembah normal dan tiada sebarang potensi pencemaran.
Terdahulu, media melaporkan agensi itu mengesan kesan dan bau seakan minyak kelapa ketika melakukan rondaan dan pemantauan di Sungai Kundang, jam 11 pagi kelmarin.
Berikutan itu, Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan untuk tindakan siasatan menyeluruh serta mitigasi segera. –Berita Harian