Lima anak kapal berada di Kepulauan Jolo

Menurut sumber, kesemua lima anak kapal itu dipercayai dibawa ke kepulauan tersebut tengah malam kelmarin iaitu pada hari mereka diculik.

Sumber itu berkata, pihaknya masih mendapatkan lokasi sebenar kedudukan mangsa yang merupakan rakyat Malaysia dan tidak menolak kemungkinan berada di Indanan atau Patikul yang merupakan markas kumpulan militan itu.

“Berdasarkan maklumat risikan kita, kesemua mereka sudah berada di sana (Kepulauan Jolo), dipercayai sampai pada tengah malam hari kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan terdapat sebuah kapal tunda Serudong 3 yang dinaiki kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Heaven berhampiran Lahad Datu.

Siasatan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di dalam kapal ber­kenaan mendapati ia ditinggalkan terdampar di beting pasir yang terletak kira-kira 40 minit dari sempadan Malaysia-Filipina.

Empat daripada anak kapal berkenaan berasal dari Tawau iaitu, Abdul Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45; Fandy Bakran, 26, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, manakala Mohd. Ridzuan Ismail, 32, berasal dari Jengka, Pahang.

Tambah sumber itu, pihak­nya juga percaya insiden penculikan itu turut didalangi kumpulan penculik untuk tebusan (KFR) sebelum dihantar ke markas Abu Sayyaf bagi urusan tuntutan wang tebusan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pasukan keselamatan tidak menerima sebarang wang tebusan untuk membebaskan mangsa.

Insiden penculikan lima rakyat Malaysia itu merupakan kejadian kedua dalam bulan ini selepas lima lelaki bersenjata dipercayai KFR menculik tiga pekerja warga Indonesia di perairan Sahabat 16, Felda Sahabat. –Utusan Online

Related Articles