Letak jawatan demi kepentingan Proton

Demikian kata bekas Pengerusi Proton Holdings Berhad, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi entri terbaru di laman blog chedet.cc lewat malam tadi.

Sambil menjelaskan punca peletakan jawatannya dalam syarikat berkenaan, Tun Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, langkahnya berbuat demikian adalah disebabkan tidak mahu pengeluar kereta nasional itu berdepan masalah berurusan dengan kerajaan.

“Saya tahu saya persona non grata dengan kerajaan. Saya tidak mahu menjadi punca ketidakupayaan Proton untuk pulih kerana kehadiran saya,” tulis beliau.

Katanya, beliau membuat keputusan sendiri demi masa depan Proton dan tidak berdendam terhadap Proton, malah, beliau juga tidak mahu melihat Proton gagal selepas pemergiannya.

Jelasnya, ia disebabkan Proton dilihat menghadapi masalah dengan kerajaan dan tanpa sebab tidak diketahui jualan kereta syarikat itu merosot.

“Hari ini kerajaan tidak lagi berbangga dengan produk tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut Tun Mahathir berkata, sumbangan Proton kepada kerajaan adalah lebih besar berbanding pemberian kerajaan kepada syarikat kereta nasional itu.

Katanya, kerajaan mendakwa telah menyediakan geran serta pelbagai bentuk bantuan, termasuk kehilangan cukai kira-kira RM13.9 bilion.

Tambah beliau lagi, suntikan dana oleh kerajaan berjumlah RM400 juta juga sudah dibayar sepenuhnya.

“Selain itu, Proton telah membiayai sepenuhnya kilang di Tanjung Malim bernilai RM1.8 bilion menggunakan tabung dalamannya yang ketika itu mempunyai sejumlah RM4 bilion.

“Sebagai tambahan Proton menyediakan 12,000 pekerjaan secara langsung dan 250,000 pekerja secara tidak langsung,” katanya.

Related Articles