PUTRAJAYA: Produk atau lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara ini, perlu diberi pengiktirafan setanding dengan kelayakan akademik lain.
Ketua Operasi Kumpulan Bermaz Auto Bhd, Datuk Shamsuddin Amran, yang juga Pengerusi Kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, berkata TVET tidak seharusnya hanya dilihat sebagai sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) semata-mata.
“Persepsi TVET sebagai pekerjaan ‘gred kedua’ atau sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) perlu diubah, sebenarnya kita lupa ada satu lagi ‘D’ iaitu duit. TVET kena dilihat sama rata dengan kelayakan akedemik yang lain.
“Di industri dan pasaran kerjaya, mereka selalu mengukur kepada tahap akademik (dalam pengambilan pekerja). Namun kalau dilihat di Jepun dan Korea Selatan, kemahiran itu dianggap satu yang amat penting,” katanya pada sesi pleno sempena KEB 2024 di sini, hari ini.
Untuk itu beliau berkata, sebuah kementerian khusus perlu diwujudkan bagi menyelaras, memantau dan menetapkan hala tuju yang lebih mampan kepada bidang TVET.
“Penubuhan kementerian TVET yang akta dan dasarnya sendiri. Sebab sekarang, kalau kita lihat ada 12 kementerian yang membawa TVET ini. Jadi dalam sesi libat urus yang kita adakan sebelum ini, kami merumuskan bahawa TVET ini perlu dikendali oleh sebuah kementerian.
“Selain itu, keperluan untuk mewujudkan akta gaji khusus untuk TVET yang berdasarkan kecekapan. Sekarang ini, dia berterabur, tidak ada satu sistem atau skim gaji yang selaras dan kami mahu ini (gaji TVET) perlu diaktakan,” katanya.
Kluster TVET Pilihan Kerjaya Utama yang sebelum ini menjalankan tiga sesi libat urus bersama industri antara Januari dan Februari lalu bagi mengumpul pelbagai cadangan untuk dibawah ke KEB 2024, berjaya merumuskan lapan strategi serta 80 tindakan dalam usahanya meningkatkan kualiti bidang TVET negara.
Lapan strategi itu dicadang bagi memenuhi empat fokus utama iaitu meningkatkan tenaga kerja profesional dan kompeten Bumiputera berasaskan TVET serta merancak pembangunan teknousahawan Bumiputera.
Dua lagi fokus adalah meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kerjaya berkemahiran dan berpendapatan tinggi serta melonjakkan penghasilan kumpulan huffaz berkemahiran. -Berita Harian Online