Perintah tahanan reman sehingga 13 November itu dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Majistret Tangkak, pada Isnin, terhadap suspek berusia 19 tahun yang juga rakan mangsa.
Terdahulu, menurut laporan BH Online, suspek yang juga seorang lembam berpakaian lokap berwarna jingga dan bergari dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi dengan kawalan ketat polis.
Semalam, mayat seorang remaja lelaki yang dipercayai berusia 20 tahun, dikerat beberapa bahagian dan dibungkus dalam lima plastik sampah yang kemudian disorokkan di dalam saluran pembentung longkang di kawasan parkir rumah terbabit ditemui polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, tuan rumah berkenaan yang sedang membersihkan halaman rumahnya terkejut apabila menemui pergelangan kaki manusia di perkarangan rumahnya sebelum terus menghubungi polis.
Lebih mengerikan, bahagian kepala mangsa ditemui ditanam di perkarangan rumah berkenaan dengan jarak hanya beberapa meter dari lokasi penemuan lima beg plastik yang mengandungi anggota badan mangsa.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri, dilaporkan berkata, kurang sejam selepas menerima laporan, polis menahan suspek di sebuah rumah berhampiran tempat kejadian bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan.