Lelaki lumpuh maut terbakar

MANJUNG: Lelaki warga emas lumpuh ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Kampung Baru, Ayer Tawar, di sini, malam tadi.

Difahamkan, mangsa dikenali Loo Leng Wion, 90, ditemukan oleh anggota penyelamat selepas hampir empat jam operasi pemadaman.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.41 malam.

“Setiba pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan kedai dua tingkat. Kebakaran dianggarkan kira-kira 70 peratus.

“Seorang mangsa ditemukan jam 3.35 pagi berdekatan dengan pintu bilik di tingkat atas dan disahkan maut oleh pegawai kesihatan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi itu turut dibantu anggota dari BBP Sitiawan, BBP Pantai Remis, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, PBS Air Tawar dan PBS Pantai Remis. -Berita Harian

Related Articles