Lelaki Dibelasah 30 Individu Kerana Tak Puas Hati Isu Parkir

by Anis

KUALA LUMPUR: Pergaduhan yang berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana isu parkir, seorang lelaki cedera dipukul oleh sekumpulan individu di Jalan KB 16, Kampung Baru Dengkil, Sepang, Sabtu lalu.

Terdahulu mangsa yang berusia 44 tahun itu didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap sebuah keluarga apabila salah seorang daripada mereka menghalang laluan keretanya dengan meletakkan kenderaan jenis Alphard bewarna putih.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa sedang berada di rumah bapanya di situ sebelum didatangi 30 individu termasuk ahli keluarga kepada pemilik kereta berkenaan.

Berlaku pertikaman lidah di antara mangsa dan kumpulan itu, sebelum berlaku pergaduhan dan menyebabkan mangsa dipukul.

Bapa mangsa, Teo Beng Tuan, 71 yang cuba meleraikan pergaduhan itu, bagaimanapun diugut menggunakan sebatang besi.

“Mereka bukan orang lain, saudara jauh saya juga, saya beritahu jangan gaduh, bagi la muka sikit pakcik ini. “Saya cuba halang, tapi salah seorang tunjuk batang besi, tak tak boleh buat apa-apa, saya orang tua tak mampu nak halang mereka bergaduh,” katanya ketika ditemui pemberita, malam tadi.

Ditanya punca pergaduhan itu, Beng tidak menafikan cemuhan anak lelakinya, “parkir kereta tengah jalan macam ini tak ada otak ke” menyebabkan rasa tidak puas hati itu.

Susulan itu, anak lelakinya telah membuat laporan polis mendakwa dirinya diserang kumpulan 30 individu tersebut.

Mangsa mengakui dirinya cedera di bahagian muka, kepala, telinga dan seluruh badan setelah dipukul menggunakan pelbagai alat seperti kerusi, meja, topi keledar dan batu bata.

Lelaki itu turut mendakwa dirinya diugut bunuh menggunakan senjata iaitu selaras senapang apabila dia menolak sekumpulan 30 lelaki itu menggunakan tanga untuk mempertahankan diri. – The Rakyat Insight

Related Articles