Lebih ramai pemimpin pembangkang akan dibawa ke mahkamah menjelang PRU14 – Ketua Pembangkang

by SM Amin

Dr. Wan Azizah mendakwa kerajaan telah memungkiri janji apabila menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA terhadap aktivis politik dan bukannya terhadap pengganas seperti yang ditegaskan sebelum ini.

Bukan itu sahaja kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu, kerajaan juga secara berleluasa menggunakan Seksyen 124C dan 147 Kanun Keseksaan untuk menangkap atau menyiasat pemimpin pembangkang.

“Malah pagi semalam kita saksikan lebih ramai ahli Parlimen, ADUN dan aktivis politik Pakatan Harapan yang dipanggil polis berkaitan perhimpunan aman Bersih 5.

“Penyalahgunaan SOSMA ke atas Maria serta penggunaan berleluasa Seksyen 124C (cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen) dan 147 (merusuh) Kanun Keseksaan untuk menangkap atau menyiasat begitu ramai ahli politik pembangkang dan aktivisi Bersih 2.0 pra-Bersih 5 adalah taktik pemerintah untuk terus memegang kuasa.

“Tidak mustahil semakin hampir kita ke Pilihanraya Umum ke-14, semakin ramai ahli-ahli politik Pakatan Harapan bakal dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pembebasan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin semalam selepas 10 hari ditahan di bawah SOSMA.

“Saya yakin antara sebab beliau dibebaskan termasuklah gesaan dan sokongan padu rakyat yang berhimpun secara aman setiap malam di Dataran Merdeka dan banyak lagi tempat di seluruh negara untuk menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap penahanan Maria di bawah SOSMA.

“Oleh itu, jika Mac depan Kerajaan UMNO-BN mengambil keputusan untuk memanjangkan hayat SOSMA, kita mesti bersiap sedia untuk berdepan dengan mereka di Parlimen,” ujarnya.

Related Articles