Lebih 4000 masyarakat India kecewa Bandar Bestari Jaya ketinggalan dari arus pembangunan

Ketua MIC Cawangan Rumah Murah Batang Berjuntai, C.M. Ramesh berkata Bestari Jaya merupakan kawasan penempatan yang terdiri daripada lebih 4,000 penduduk India.

“Kesemua merupakan pengundi yang bakal menentukan nasib calon Dewan Undangan Negeri Ijok.

“Bagaimanapun sangat menyedihkan apabila kebajikan dan taraf sosioekonomi Bestari Jaya langsung tidak dipedulikan pihak bertanggungjawab dan ia jauh ketinggalan di belakang dari segi arus pemodenan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Seminar Kesedaran Pengguna melibatkan komuniti Bestari Ijok di sini.

Tambahnya, jika dibandingkan dengan Kuala Selangor, Jeram dan sebagainya, kira-kira 32 peratus pengundi India di Ijok ketinggalan dari arus pembangunan bandar.

“Terbaru, salah satu daripada tiga cawangan bank yang terdapat di kawasan Ijok ini, iaitu CIMB akan menutup perkhidmatannya tidak lama lagi.

“Ini pasti akan memaksa masyarakat di sini perlu berulang alik ke CIMB cawangan Kuala Selangor nanti.

“Selain itu perkhidmatan bas dari Bestari Jaya ke Kuala Lumpur masih belum diselesaikan lagi manakala ketiadaan peluang pekerjaan baharu menyebabkan perancangan penempatan baharu tidak dapat dilaksanakan di sini,” keluhnya lagi. – Makkal Osai

Related Articles