Tengku Adnan berkata cadangan itu telah diputarbelitkan pihak tertentu.
“Kami merasai nadi rakyat, kalau rakyat tak mahu, kami akan ikut pandangan rakyat, jadi pengguna motosikal kapcai jangan bimbang dan kita tidak akan laksanakannya,” katanya.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata cadangan itu adalah antara usaha untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon selain bagi menangani jenayah ragut dan pelaksanaannya akan dipertimbangkan jika pengangkutan awam dapat menyediakan tambang yang berpatutan kepada para penumpangnya.
“Kita sedang melihat perkara (cadangan) ini, saya kata ‘berkemungkinan’, mungkin ya atau mungkin tidak.
“Saya tahu bahawa kebanyakan warga kita perlukan kenderaan ini (motosikal kapcai), kebanyakan rakyat khususnya golongan bawahan, mereka menggunakan kenderaan ini ke tempat kerja dan sebagainya kerana ia menjimatkan,” katanya.
Laporan berkenaan cadangan itu menjadi tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai maklum balas orang ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Terdahulu, Tengku Adnan merasmikan butik ‘ready to wear’ atau RTW yang dikenali sebagai Bohari milik pereka fesyen, Ridzuan Bohari di Sunway Putra Mall di sini.
Beliau berharap Kuala Lumpur akan terus menjadi ‘Syurga membeli-belah’ menerusi lebih banyak pembukaan outlet perniagaan di pusat beli-belah sekitar ibu kota.
“Dengan wujudnya banyak outlet sebegini (seperti perniagaan Bohari) ia sedikit sebanyak menarik lebih ramai pengunjung datang ke Kuala Lumpur, dan kita harapkan produk-produk tempatan juga berkembang ke peringkat antarabangsa,” katanya lagi.–Bernama