Laporan rasuah mengarut boleh dijadikan senjata politik, kata Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, tiada keperluan untuknya bercuti atas dakwaan salah laku rasuah membabitkan pembelian seunit rumah kediaman sedangkan dirinya tidak mempunyai pengaruh dan kawalan terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak faham kenapa saya perlu bercuti atas dakwaan palsu ini, malah saya tidak mempunyai pengaruh dan kawalan ke atas siasatan SPRM dan juga Peguam Negara, yang mempunyai kuasa pendakwaan penuh. Hanya Perdana Menteri yang mempunyai kuasa ke atas kedua-dua SPRM dan Peguam Negara.

“Tambahan pula, sekiranya seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri perlu bercuti setiap kali laporan rasuah dikemukakan kepada SPRM, laporan-laporan yang mengarut dan tidak berasas juga boleh dijadikan senjata politik, dan semua orang akan terpaksa bercuti,” katanya, dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Lim berkata, beliau bagaimanapun bersedia untuk membincangkan latar dakwaan rasuah terhadap dirinya bersama pihak-pihak yang bebas dan neutral, supaya mereka mendapat gambaran sebenar konspirasi dan pembohongan tersebut.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau tidak berasa hairan melihat PAS dan Umno berganding bahu, mendesak membuat desakan supaya beliau bercuti sementara siasatan oleh SPRM terhadap dakwaan rasuah terhadapnya berkenaan pembelian kediaman berusia 30 tahun dan penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis.

“Desakan ini adalah jelas bermotifkan politik. Kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan PAS tidak membuat desakan yang sama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bercuti, ketika beliau didapati memiliki derma tunai USD700 juta atau RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya,” katanya.

Lim sebaliknya menegaskan beliau nsentiasa menjalankan pentadbiran yang bersih di Pulau Pinang mengikut prinsip urustadbir CAT (Cekap, Akauntabel, Telus).

Salah satu langkah integriti utama yang dinayatakannya ialah melaksanakan tender terbuka, suatu langkah yang mengundang pujian terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang daripada Transparency International.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang sewajarnya bangga dengan urustadbir yang bersih daripada rasuah.
Penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis dilakukan melalui tender terbuka kepada orang awam dan kemudian diberikan kepada syarikat yang sanggup membayar harga paling tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau membidas dakwaan berlakunya amalan rasuah sedangkan syarikat tersebut memenangi tender itu dengan merit mereka sendiri dan membayar harga paling tinggi.

“Selanjutnya, pemilik yang menjualkan kepada saya rumah tersebut tidak pernah menjadi pemegang saham atau pengarah syarikat terbabit.

“Atas sebab ini, laporan rasuah terhadap saya kepada SPRM oleh BN dan penyokongnya adalah palsu, dan merupakan konspirasi utnuk membunuh karakter serta menghancurkaan saya secara politik,” kata Lim.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada SPRM untuk menjalanka siasatan agar namanya dan kerajaan negeri Pulau Pinang dapat dibersihkan dalam kadar segera.

Beliau berkata, mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah disiasat SPRM atas dakwaan rasuah berkait perbelanjaan mengerjakan haji ke Mekah pada tahun 2009, yang kemudiannya batalkan.

“Tiada siapa pun meminta Nik Aziz bercuti kerana arwah tidak mempunyai kawalan dan kuasa ke atas SPRM, dan dakwaan tersebut juga tidak berasas,” katanya.

Related Articles