Laporan polis tanpa perlu ke balai polis

Kata Jazlan, dengan adanya sistem tersebut, ia akan memudahkan pelbagai pihak dan ianya merupakan sebahagian daripada usaha untuk memodenkan pasukan polis seiring dengan kemajuan teknologi di negara ini.

“Polis sedang menjalankan satu projek perintis untuk meneroka kemungkinan laporan polis dibuat secara dalam talian.

“Ini bermaksud seorang individu boleh membuat laporan polis menggunakan telefon bimbit atau komputer di rumah tanpa perlu hadir ke balai polis,” katanya ketika menjawab soalan tambahan, ahli Parlimen BN-Tebrau, Khoo Soo Seang di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Jazlan, ketika ini sistem laporan polis secara dalam talian masih dalam proses penilaian di balai polis Brickfields dan Taman Tun Dr Ismail.

Jelasnya, terdapat beberapa isu-isu teknikal dikenalpasti dan pihaknya sedang menyelesaikan perkara tersebut sebelum ianya boleh dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara.

“Perbincangan sedang diadakan dengan Peguam Negara mengenai mekanisme yang akan membolehkan tandatangan digital untuk digunakan sebagai satu cara untuk membuktikan kesahihan laporan dalam talian itu,” ujarnya.

Related Articles