Laporan akhir 1MDB: Kaji dan ambil tindakan undang-undang jika perlu, kata Hasan

Hasan berkata, hasil daripada laporan itu, PAC mengakui bahawa syarikat 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus yang dijelaskan dengan terperinci dalam laporan berkenaan.

“Atas sebab itu, PAC menyarankan supaya pihak penguatkuasa perlu mengkaji dengan teliti laporan ini dan membuat siasatan lanjut. Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil,” katanya, dalam satu kenyataan, pada Khamis.

PAC juga katanya mendapati bahawa struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang.

Ahli Parlimen Rompin itu berkata, PAC juga berpuas hati dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pelan rasionalisasi syarikat 1MDB dan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam tempoh singkat bagi memulihkan syarikat ini.

PAC merupakan jawatankuasa yang dipilih di bawah Parlimen dan dianggotai 14 ahli Parlimen dengan sembilan daripada mereka adalah ahli daripada parti Barisan Nasional (BN) dan lima daripada parti pembangkang.

Hasan berkata, dalam menyiapkan laporan ini secara kolektif, kesemua mereka mengemukakan rumusan serta cadangan kepada kerajaan berhubung kawalan pengurusan tadbir urus syarikat 1MDB yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) 

PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan Juruaudit 1MDB.

“PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara (JAN) kerana membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu bersandarkan maklumat daripada laporan yang disediakan JAN selaras dengan keputusan Kabinet yang mengarahkan Laporan Audit 1MDB dibentangkan kepada PAC untuk menjalankan siasatan, menyiapkan serta merumuskan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB.

Related Articles