Lapan Dijangkiti Tibi Di Flat Tasek 64 Di Masai

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Johor berkata sebanyak lapan kes penyakit Tuberkulosis (Tibi) dengan satu kematian dilaporkan di Flat Tasek 64 di Bandar Seri Alam, Masai pada tahun lalu.

Mengulas laporan Sinar Harian bahawa lebih 10,000 penduduk di 22 blok Flat Tasek 64 mungkin terdedah dengan jangkitan bateria Tibi, Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohtar Pungut berkata lapan kes itu tidak berkait antara satu sama lain.

Katanya, seorang pesakit yang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan kerana lewat mendapat rawatan.Sinar Harian melaporkan bahawa Flat Tasek 64 dikenalpasti antara lokasi panas jangkitan Tibi yang juga dikenali sebagai batuk kering.

“Jabatan kesihatan mengingatkan orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami batuk berpanjangan,” kata Mohtar dalam kenyataan.

Beliau turut menggesa pesakit mematuhi arahan rawatan yang ditetapkan bagi mengelak kejadian rintang-ubat bateria Tibi, yang boleh memanjangkan tempoh rawatan dan penularan penyakit itu.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan Johor komited dalam menangani penularan penyakit berjangkit dan memastikan rawatan yang optima kepada pesakit. – FMT

Related Articles